HIKAYAT MARYAM BINTI IMRAN AL MUQADDAS - Siri 2

MARYAM DI BAWAH JAGAAN NABI ZAKARIA
Hannah berdoa kepada Allah Azzwajal bahawa dia akan menunaikan juga janjinya kepada Allah Azzwajal. Namun dia gusar seandainya Maryam ditolak oleh pihak Kanisah Yahudi  [Gereja Yahudi] kerana anak yang bakal diberikan kepada kanisah adalah seorang perempuan. Dia hanya berserah kepada Allah Azzwajal dan berharap agar Maryam akan memimpin kembali bani Israel yang kian melupakan ajaran Nabi Musa a.s.

Maryam diasuh ketika kecil sehingga dia mencapai zaman kanak-kanaknya oleh Nabi Zakaria dan isterinya memandangkan mereka juga belum lagi dikurniakan anak oleh Allah Azzwajal. Selain itu Hannah yang tidak mempunyai suami dalam membesarkan Maryam dan perlu bekerja untuk menyara hidup. Nabi Zakaria merupakan keluarga terdekat dengan Hannah. Isteri Nabi Zakaria, Ilizabits merupakan sepupu kepada Hannah.

MARYAM DIHANTAR KE JERUSALEM
Setelah Maryam mencapai umur mumayyiz, maka Hannah telah membuat keputusan untuk menunaikan nazarnya. Permasalahan bagi memberikan Maryam kepada pihak Kanisah Yahudi untuk dijadikan rahib di sana diserahkan kepada pihak kanisah oleh Nabi Zakaria.

Namun permasalahan ini mendapat tentangan kerana kemasukan wanita ke Rumah Suci [atau di dalam bahasa Ibrani dipanggil sebagai Bait haMiqdash] adalah dilarang menurut syariat pada ketika itu. Mereka kemudiannya berkumpul bersama-sama ketua Pendeta Yahudi untuk melakukan musyawarah sesama mereka yang turut dihadiri oleh Nabi Zakaria sendiri. 

Keputusan akhirnya memihak kepada Maryam dan dia dibenarkan untuk menjadi rahib serta menetap di Rumah Suci dengan syarat Maryam dipisahkan daripada rahib kanak-kanak lelaki. Sebuah bilik khas akhirnya dibina oleh Nabi Zakaria dan pengikutnya berdekatan Rumah Suci untuk Maryam dengan binaan yang kukuh dan baik serta diperkuat dengan kunci-kunci. Ada riwayat mengatakan bahawa terdapat beberapa buah pintu dibina untuk memisahkan Maryam daripada umum.

Pihak kanisah menghendaki agar salah seorang daripada mereka menjadi penjaga atau pengasuh kepada Maryam sehingga dia dewasa dan benar-benar boleh menjaga dirinya. Namun keputusan ini membuatkan para pendeta berkelahi dan kemudiannya berebut-rebut untuk menjaga Maryam. 

NABI ZAKARIA DIPILIH OLEH ALLAH AZZWAJAL UNTUK MENJAGA MARYAM
Sekali lagi musyawarah dilakukan untuk menentukan siapa yang berhak menjaga Maryam dan sekali lagi mereka berbalah untuk menentukan siapa yang lebih berhak. Keputusan lebih memihak kepada Nabi Zakaria kerana baginda merupakan keluarga yang sangat dekat dengan Maryam selain Maryam diasuh olehnya sejak dia kecil lagi.

Pihak kanisah bersetuju agar Nabi Zakaria menjadi pengasuh kepada Maryam. Namun para pendeta lainnya menentang keputusan kanisah dan mendesak agar melakukan sebuah upacara undian yang juga dikenali sebagai Undian Dari Tuhan. Hanya upacara ini yang akan membuatkan mereka yakin kerana keputusan undian adalah dari Allah Yang Maha Esa selain upacara ini merupakan upacara suci. Upacara ini diketuai oleh seorang Ketua Pendeta Yahudi.

UNDIAN BERMULA
Di dalam upacara undian itu, kesemua pendeta dikehendaki agar membuang pena mereka ke dalam air yang mengalir. Setelah doa dibaca oleh Ketua Pendeta, maka mereka melepaskan pena masing-masing ke permukaan air. Barangsiapa yang penanya hanyut paling akhir, maka dialah yang berhak menjaga Maryam. Dengan izin Allah Azzwajal, maka pena Nabi Zakaria hanyut paling akhir dan dengan itu telah jelas nyata bahawa Nabi Zakaria yang berhak menjaga Maryam.

Namun kedegilan para pendeta Yahudi yang lainnya menentang keputusan ini menunjukkan betapa lemah iman mereka dalam menerima keputusan daripada Allah Azzwajal. Mereka yang menentang keputusan undian tersebut mula menunjukkan bibit-bibit permusuhan kepada Nabi Zakaria a.s.

PENDETA BAHISHA TENGGELAM DALAM AMALANNYA - Siri Akhir

BAHISHA TERPERDAYA
Terperdaya dengan hasutan Iblis, maka Bahisha berkata “Apakah dosa yang perlu aku lakukan agar aku menjadi sepertimu”

Hasut Iblis “Jika demikian, maka tuan lakukanlah zina, kemudian tuan bertaubat”

Jawabnya “Zina adalah berat bagiku, oleh  itu aku tidak mampu melakukannya”

“Jika demikian tuan minumlah arak!” tambah Iblis lagi sambil di dalam hatinya berkata “Binasalah engkau Bahisha!”


ARAK IBU SEGALA KEJAHATAN
Lalu pendeta Bahisha bersetuju “Ya! Minum arak, kesalahan yang mampu aku lakukan!”
Lalu Bahisha meneguk arak dan dia menjadi mabuk. Setelah dia mabuk, maka dia hilang pertimbangan, lalu dia menzina seorang wanita.

Berita penzinaan sampai ke pengetahuan suami wanita tersebut, lalu suami wanita itu pergi menemui Bahisha  yang sedang mabuk. Lalu mereka bertengkar dan Bahisha membunuh suami wanita yang dizinanya.

Akhirnya kedua-dua kesalahan ini sampai ke pengetauan raja. Namun sukar dipercayai oleh raja dan rakyat kerana pendeta Bahisha terkenal dengan amalannya. Akhirnya siasatan dilakukan dan pendeta Bahisha didapati bersalah. Maka dia ditangkap dan dijatuhkan hukuman salib sampai mati.

Ketika hukuman dijalankan, maka Iblis pun datang kepada Bahisha sambil tersenyum dan berkata “Wahai Bahisha akulah Iblis laknatullah dan engkau telah berjaya aku sesatkan”

Bahisha menjawab “Celaka engkau Iblis, aku tumpas di tanganmu”

Di dalam Bahisha menghadapi perit hukuman mati itu, Iblis berkata “Pada hari ini tidak ada yang dapat menyelamatkanmu melainkan aku, maka aku akan selamatkan dirimu, dengan syarat engkau hendaklah mengaku bahawa aku adalah tuhanmu”

Gambar hiasan
Sekali lagi Bahisha diperdaya dan dia mengakui Iblis sebagai tuhannya. Setelah dia membuat pengakuan itu, maka sebatang panah hinggap ke dadanya dan matilah Bahisha sebagai seorang yang kafir. Amalannya selama ini sia-sia dan tumpaslah dia kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan.

-TAMAT-


ke >> PENDETA BAHISHA TENGGELAM DALAM AMALANNYA - Siri 1

PENDETA BAHISHA TENGGELAM DALAM AMALANNYA - Siri 1

Gambar hiasan
Diriwayatkan bahawa ada seorang pendeta dari bani Israel yang taat kepada perintah Allah Azzwajall dan kuat beribadat dan beramal. Amalan yang dilakukannya membuatkan dia diberikan kurnia dari Allah Azzwajall.

Dia boleh pergi dari suatu tempat ke tempat yang lain hanya dengan sekelip mata, ada pula riwayat yang mengatakan dia dapat terbang untuk pergi dari suatu tempat ke tempat yang lain.

BERITA BAHISHA SAMPAI KE PENGETAHUAN IBLIS LAKNATULLAH
Selain  itu dia juga mempunyai pengikut dan anak murid yang turut sepertinya. Namanya juga terkenal di seluruh negeri dan menjadi sebut-sebutan di dalam istana raja. Sebut sahaja Bahishah, mereka pasti akan mengenalinya kerana ketaatan dan kesolehannya. 

Maka berita pendeta Bahisha ini tiba ke pendengaran Iblis. Maka marahlah Iblis sambil di dalam hatinya sangat dengki dan hasad. Dia berhasrat ingin menyesatkan pendeta tersebut sehingga amalan yang dilakukan olehnya menjadi sia-sia dan dijerumuskan ke dalam Jahannam.

IBLIS DAN TIPUDAYANYA 
Maka pergilah Iblis kepada pendeta Bahisha dengan menyerupai seorang lelaki alim. Di dalam perjalanannya, hatinya berbisik “Binasalah Bahisha dan amalannya, akan kusesatkan dirimu!”

Maka tibalah Iblis di rumah Bahisha. Lalu dia meminta izin agar dibenarkan menetap di rumahnya selama beberapa hari. Dengan hati terbuka, Bahisha membenarkan lelaki tersebut menetap di rumahnya untuk beberapa malam.

Selama beberapa hari Bahisha melihat tetamunya itu dengan penuh hairan. Belum pernah dia melihat manusia yang taat beribadat kepada Tuhan tanpa makan dan minum. Maka dia bertanya kepada lelaki tersebut “Wahai hamba Allah, siapakah engkau ini, sehingga engkau tidak makan dan minum selama 3 hari 3 malam kerana taat beribadat kepada Tuhan?”

Maka jawab Iblis “Aku seperti dirimu juga, seorang manusia, namun ‘dosa’ yang telah membuatkan aku menjadi seperti ini. Seandainya tuan ingin menjadi seperti saya, maka lakukanlah dosa, nescaya tuan akan lebih taat kerana dosa-dosa yang tuan lakukan dan tuan akan dapat rasakan betapa manisnya ibadat itu”



HIKAYAT MARYAM BINTI IMRAN AL MUQADDAS - Siri 1

BIODATA RINGKAS
Maryam binti Imran dilahirkan di Nazareth tahun 20 Sebelum Masehi. Beliau merupakan anak kepada sepasang suami isteri Hannah dan Imran. Bapanya Imran meninggal dunia ketika beliau belum lagi lahir. Beliau meninggal dunia pada tahun 100-120 Selepas Masehi.

SEJARAH KELAHIRAN MARYAM
Hannah merupakan seorang perempuan yang belum dikurniakan seorang anak walaupun telah lama berkahwin dengan suaminya dan usianya semakin tua. Suatu hari dia berdoa kepada Allah Azzwajal bahawa dia akan bernazar sekiranya dia dikurniakan seorang anak, dia akan menghantar anaknya ke Baitul Maqdis di Jerusalem untuk menjadi seorang rahib Yahudi di sana serta mengabdikan diri sepenuhnya kepadaNya.

Kawasan di sekitar Nazareth
Namun, dengan izin Allah Azzwajal, Hannah mengandung dan memperanakkan seorang bayi perempuan. Kegembiraan hati Hannah kepada Allah Azzwajal bukan kepalang lagi. Namun nazar yang pernah dijanjikan dahulu tidak dilupakan olehnya.

ERTI NAMA MARYAM
Dia berdoa dan di dalam doanya dia berkata, bahawa dia akan menghantar anaknya ke Jerusalem sebagaimana nazarnya. Dia memberi nama anak perempuan itu dengan nama Maryam. Nama Maryam diambil daripada perkataan Ibrani dan Suryani iaitu Miriam. Bahasa Suryani dan Ibrani menjadi bahasa pertuturan utama bani Israel yang tinggal di Nazareth dan Jerusalem. Maryam bermaksud "Orang yang menyembah". Dapatkah Hannah menunaikan nazarnya?