HIKAYAT MARYAM BINTI IMRAN AL MUQADDAS - Siri 2

MARYAM DI BAWAH JAGAAN NABI ZAKARIA
Hannah berdoa kepada Allah Azzwajal bahawa dia akan menunaikan juga janjinya kepada Allah Azzwajal. Namun dia gusar seandainya Maryam ditolak oleh pihak Kanisah Yahudi  [Gereja Yahudi] kerana anak yang bakal diberikan kepada kanisah adalah seorang perempuan. Dia hanya berserah kepada Allah Azzwajal dan berharap agar Maryam akan memimpin kembali bani Israel yang kian melupakan ajaran Nabi Musa a.s.

Maryam diasuh ketika kecil sehingga dia mencapai zaman kanak-kanaknya oleh Nabi Zakaria dan isterinya memandangkan mereka juga belum lagi dikurniakan anak oleh Allah Azzwajal. Selain itu Hannah yang tidak mempunyai suami dalam membesarkan Maryam dan perlu bekerja untuk menyara hidup. Nabi Zakaria merupakan keluarga terdekat dengan Hannah. Isteri Nabi Zakaria, Ilizabits merupakan sepupu kepada Hannah.

MARYAM DIHANTAR KE JERUSALEM
Setelah Maryam mencapai umur mumayyiz, maka Hannah telah membuat keputusan untuk menunaikan nazarnya. Permasalahan bagi memberikan Maryam kepada pihak Kanisah Yahudi untuk dijadikan rahib di sana diserahkan kepada pihak kanisah oleh Nabi Zakaria.

Namun permasalahan ini mendapat tentangan kerana kemasukan wanita ke Rumah Suci [atau di dalam bahasa Ibrani dipanggil sebagai Bait haMiqdash] adalah dilarang menurut syariat pada ketika itu. Mereka kemudiannya berkumpul bersama-sama ketua Pendeta Yahudi untuk melakukan musyawarah sesama mereka yang turut dihadiri oleh Nabi Zakaria sendiri. 

Keputusan akhirnya memihak kepada Maryam dan dia dibenarkan untuk menjadi rahib serta menetap di Rumah Suci dengan syarat Maryam dipisahkan daripada rahib kanak-kanak lelaki. Sebuah bilik khas akhirnya dibina oleh Nabi Zakaria dan pengikutnya berdekatan Rumah Suci untuk Maryam dengan binaan yang kukuh dan baik serta diperkuat dengan kunci-kunci. Ada riwayat mengatakan bahawa terdapat beberapa buah pintu dibina untuk memisahkan Maryam daripada umum.

Pihak kanisah menghendaki agar salah seorang daripada mereka menjadi penjaga atau pengasuh kepada Maryam sehingga dia dewasa dan benar-benar boleh menjaga dirinya. Namun keputusan ini membuatkan para pendeta berkelahi dan kemudiannya berebut-rebut untuk menjaga Maryam. 

NABI ZAKARIA DIPILIH OLEH ALLAH AZZWAJAL UNTUK MENJAGA MARYAM
Sekali lagi musyawarah dilakukan untuk menentukan siapa yang berhak menjaga Maryam dan sekali lagi mereka berbalah untuk menentukan siapa yang lebih berhak. Keputusan lebih memihak kepada Nabi Zakaria kerana baginda merupakan keluarga yang sangat dekat dengan Maryam selain Maryam diasuh olehnya sejak dia kecil lagi.

Pihak kanisah bersetuju agar Nabi Zakaria menjadi pengasuh kepada Maryam. Namun para pendeta lainnya menentang keputusan kanisah dan mendesak agar melakukan sebuah upacara undian yang juga dikenali sebagai Undian Dari Tuhan. Hanya upacara ini yang akan membuatkan mereka yakin kerana keputusan undian adalah dari Allah Yang Maha Esa selain upacara ini merupakan upacara suci. Upacara ini diketuai oleh seorang Ketua Pendeta Yahudi.

UNDIAN BERMULA
Di dalam upacara undian itu, kesemua pendeta dikehendaki agar membuang pena mereka ke dalam air yang mengalir. Setelah doa dibaca oleh Ketua Pendeta, maka mereka melepaskan pena masing-masing ke permukaan air. Barangsiapa yang penanya hanyut paling akhir, maka dialah yang berhak menjaga Maryam. Dengan izin Allah Azzwajal, maka pena Nabi Zakaria hanyut paling akhir dan dengan itu telah jelas nyata bahawa Nabi Zakaria yang berhak menjaga Maryam.

Namun kedegilan para pendeta Yahudi yang lainnya menentang keputusan ini menunjukkan betapa lemah iman mereka dalam menerima keputusan daripada Allah Azzwajal. Mereka yang menentang keputusan undian tersebut mula menunjukkan bibit-bibit permusuhan kepada Nabi Zakaria a.s.