BANI ISRAEL UMAT YANG DIBERKATI - Siri 1











AMARAN: SILA IKUTI ARTIKEL INI SEHINGGA KE SIRI AKHIR.

ERTI BANI ISRAEL
Israel adalah gelaran besar dan mulia yang diberikan oleh Allah Azzwajall kepada Nabi Ya'aqub a.s [Ya'akov ha Navi] kerana kasih sayang Allah Azzwajall kepada baginda sehingga diberikan gelaran manja ini olehNya. 

Gelaran Israel ini diberikan oleh Allah Azzwajall kepada baginda kerana baginda suka berjalan pada waktu malam sehingga ketika baginda hendak berhijrah juga, baginda akan melakukannya pada waktu malam dan tatkala waktu pagi, baginda akan berehat.

"Isra" diambil daripada bahasa Ibrani iaitu ISRA [ישרה] yang bermaksud "lurus, jujur dan amanah" diambil daripada kata dasar Yashar atau Yashra namun ada juga yang mentafsirkannya sebagai "Perjalanan Malam". "El" [אל] pula bermaksud Tuhan di dalam bahasa Ibrani dan apabila dicantumkan kedua-dunya menjadi sebuah kalimah, ISRAEL.


Hasil cantuman kedua-dua kalimah ini maka wujudlah sebuah perkataan yang membawa pelbagai maksud dari segi istilah antaranya, "Hamba Tuhan Yang Amanah", "Hamba Tuhan Yang Lurus", "Hamba Tuhan Yang suka berjalan pada waktu malam", "Hamba Tuhan Yang Mulia" dan pelbagai lagi. Namun istilah yang sering diberikan kepada Nabi Ya'aqub a.s adalah "Hamba Tuhan yang amanah" dan "Hamba Tuhan yang mulia".


[....bersambung]


SIAPAKAH SYAITAN??

ERTI SYAITAN
Syaitan/Syaithan berasal dari bahasa Arab yang didasarkan kepada Syathana yang bermaksud 'jauh'. Sebenarnya aspek terjemahan kalimah syaitan ini amat meluas. Antara lain syaitan membawa maksud "terbakar", "kesulitan", "hancur terbakar" dan pelbagai lagi erti syaitan menurut bahasa.

Dari segi istilah pula, syaitan bermaksud "segala yang buruk dan jahat". Sebenarnya kalimah Syaitan bukanlah mutlak berasal dari kalimah bahasa Arab kerana di dalam bahasa Ibrani, syaitan disebut sebagai Satan [satanot - jamak] yang turut merujuk kepada "kejahatan" dan terma satan banyak digunakan di dalam kitab-kitab agama Yahudi sejak beribu tahun dahulu.


SIAPAKAH SYAITAN SEBENARNYA?
Syaitan adalah kata sifat yang dinaqalkan kepada sesuatu yang buruk sifatnya tidak kira sama ada manusia, jin, haiwan, penyakit atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun terma syaitan lebih utama digunakan terhadap jin dan manusia.



Contoh mudah ketika kita sedang marah, kita akan panggil seseorang itu dengan perkataan yang buruk misalnya Si A marah kepada Si B kerana mencuri barangnya dengan berkata: "syaitan engkau Si B!!". Maka di sinilah wujudnya penggunaan terma syaitan yang disifatkan kepada sikap Si B yang mencuri.

Syaitan bukan makhluk yang khusus, umum mahupun yang telah ditetapkan rupa kejadiannya. Manusia sering keliru dan berkata terdapat perbezaan di antara jin dan syaitan bahkan mengatakan bahawa hanya jin adalah syaitan. Pendapat sedemikian adalah salah kerana syaitan juga terdapat dari golongan manusia.

Firman Allah Azzwajall:

"Setelah itu, maka syaitan telah menggelincirkan mereka berdua dari syurga......"
[al-Baqarah 2:36]

"Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang beriman, mereka berkata 'Kami telah beriman!' dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula 'Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok terhadap orang-orang yang beriman!' "
[al-Baqarah 2:14]

"Katakanlah! Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja Manusia. Tuhan Manusia. Daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia"
[an-Nas 114:1-6]

Ternyata syaitan itu terdiri dari kalangan jin dan manusia. Berdasarkan tafsir dari ayat-ayat ini, dapat saya gambarkan bahawa sifat syaitan yang diberikan adalah sebagai berikut:-


Namun bukanlah bermaksud manusia yang kafir sejak azali itu syaitan, sebaliknya jika dia melakukan perkara-perkata buruk yang boleh disifatkan sebagai syaitan seperti sikap orang-orang kafir yang menipu ketika menemui golongan mereka untuk memperolok-olokkan orang-orang beriman.

Iblis sendiri disifatkan sebagai syaitan walhal dia sendiri mempunyai nama yang khusus. Namun akibat perbuatannya menghasut Nabi Adam dan Hawa, maka dia dan perbuatannya disifatkan sebagai syaitan. Sedang syaitan yang menjadi tentera kepada Iblis terdiri dari kalangan jin dan manusia [sekiranya manusia tersebut bersikap seperti Iblis dan tentera-tenteranya].

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam tubuh anak-anak Adam mengikut pembuluh darah"
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Wallahua'alam.

PENURUNAN AYAT KURSI

PENGENALAN AYAT KURSI
Ayat Kursi terletak pada ayat ke 255 di dalam surah al-Baqarah merupakan sebuah wahyu yang agung berbanding dengan wahyu-wahyu yang lain. Keagungannya dapat dilihat pada namanya sendiri dan cara penurunan ayat ini. Ayat ini dinamakan Kuris kerana menceritakan tentang kebesaran Allah Azzwajall yang tiada tandingannya sedang nama Kursi itu pula diambil sempena kalimah Kursi yang terdapat pada ayat tersebut yang bermaksud:- "Kursi Allah meliputi langit dan bumi". Ayat Kursi diturunkan selepas hijrah Rasulullah s.a.w di Madinah pada waktu malam.

Sekadar Hiasan


SEJARAH PENURUNAN WAHYU PALING AGUNG
Diriwayatkan bahawa ketika Allah Azzwajall hendak menurunkan ayat Kursi, Allah Azzwajall telah memerintahkan Jibril untuk membawanya turun ke bumi, bersama-sama dengannya adalah 70,000 malaikat yang turut menyertai penurunan ayat Kursi ini dan menyambutnya di langit dunia dengan penuh penghormatan.

Ketika penurunan wahyu ini, bumi menjadi gempar dan berlakunya gempa bumi di seluruh dunia. Segala berhala sembahan orang kafir bergoncang. Gempa bumi ini menyebabkan manusia dan para raja di seluruh dunia menjadi gentar serta mahkota yang dipakai para raja tertanggal dan jatuh ke bumi. Syaitan-syaitan menjadi gempar dan lari bertempiaran serta berkumpul menemui Iblis Laknatullah yang turut ketakutan. Si Iblis kemudiannya memerintahkan beberapa syaitan untuk menyelidik punca gempa tersebut.

Lalu syaitan-syaitan tersebut pergi mencari punca sehingga berhenti di tempat turunnya ayat Kursi yang dihadiri oleh 70,000 malaikat dan Jibril. Maka bertambah gerunlah hati mereka melihat keagungan ayat kursi ini lantas bersegera meninggalkan tempat tersebut dan pergi menghadap Iblis Laknatullah. Setelah memberitahu Iblis, maka Iblis menjadi gusar kerana telah turun sebuah pendinding yang sangat kuat dan tidak mungkin dapat ditembusi olehnya mahupun tentera-tentaranya jika manusia beramal dengannya.

Setelah ayat Kursi selesai diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, maka Rasulullah s.a.w bersegera memerintahkan Zaid bin Tsabit agar mencatatkan ayat Kursi dan disebarkan kepada seluruh manusia untuk beramal dengannya.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Ayat Kursi itu adalah penghulu ayat-ayat al-Quran dan sesiapa yang mengamalkannya akan terpeliharalah dia daripada bala bencana dan daripada gangguan syaitan serta mendapat pahala yang besar"
[Riwayat Muslim dan Bukhari]

Wallahu'alam

AKAN DATANG!! >>Menjawab persoalan mengapa masih diganggu syaitan walaupun telah membaca ayat Kursi??

TUJUH PETALA LANGIT MENURUT PERSPEKTIF ISLAM - Siri 2 / Akhir

TUJUH PETALA LANGIT MENURUT PANDANGAN ISLAM
Gambaran atau lakaran yang saya berikan ini adalah contoh lakaran halus buat anda semua kerana jika saya ikut lakaran yang dilakarkan oleh ustaz saya, bermakna tidak cukup ruang di dalam blog ini alangkan whiteboard yang begitu besar tidak dapat memuatkan lakaran sebenar beliau.


Benar atau tidak, terserah anda untuk mempercayainya. Walaubagaimanapun, ulamak yang menggambarkan lapisan langit ini bukanlah secara suka-suka dan tanpa asas dalil melainkan dengan kajian yang mendalam terhadap al-Quran dan riwayat-riwayat. Bukti bagi gambaran ini dapat saya sandarkan kepada firman Allah Azzwajall di dalam al-Quran yang bermaksud:

"Para malaikat dan Jibril naik menghadap kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun"
[al-Ma'arij 70:4].

Maka tidak mustahil sekiranya lapisan-lapisan langit adalah seperti yang digambarkan oleh ulamak menunjukkan betapa besarnya saiz langit yang diciptakan oleh Allah Azzwajall.


PERKIRAAN LAPISAN-LAPISAN LANGIT


Lapisan langit pertama dikira daripada:

Lapisan Pertama + Lapisan Kedua ........ +  Lapisan Ketujuh = Petala Langit/Langit atau diwakilkan sebagai berikut bagi mempermudah perkiraan:-

Perwakilan 1
Lapisan Pertama [S1 | S1A.......A1F]
Lapisan Kedua [S2 | S2A.......A1F]
Lapisan Ketiga [S3 | S3A.......A1F] 
Lapisan Keempat [S4 | S4A.......A1F]
Lapisan Kelima [S5 | S5A.......A1F]
Lapisan Keenam [S6 | S6A.......A1F]
Lapisan Ketujuh/perwakilan seterusnya [S7, S7A...S7F = A1 | A2 | A3 | A4 | A5 | A6 | A7 ]

Perwakilan 2
Langit Pertama/Petala Pertama [A1]
Langit Kedua/Petala Kedua dan seterusnya [A2 ...... A7]
-------------------------------------------------------------

Perkiraan
Perkiraan Langit Pertama/Petala Pertama:

S1 + S2 + S3 + S4 + S5 + S6 + S7 --------> S7 = A1

Perkiraan Langit Kedua/Petala Kedua:

S1A + S2A + S3A + S4A + S5A + S6A + S7A -------->S7A = A2

Perkiraan Langit Ketiga/Petala Ketiga:

S1B + S2B + S3B + S4B + S5B + S6B + S7B -------->S7B = A2

dan begitulah seterusnya sehingga ke langit ketujuh......


KEDUDUKAN BUMI DAN ALAM SEMESTA
Alam semesta dan isinya terletak di dalam langit pertama iaitu di salah satu lapisan yang hanya Allah Azzwajall Yang Maha Mengetahui dan mungkin berada di lapisan S1 atau S2 atau juga S6 tetapi tidak terkeluar dari S7 yang merupakan pelengkap bagi S7 = A1. Lapisan terletaknya alam semesta dan segala isinya dinamakan sebagai LANGIT DUNIA.

Kita berada di dalam langit yang pertama, di dalam sebuah lapisan, bersama-sama enam lagi lapisan-lapisan yang lain dan hanya diketahui oleh Allah Azzwajall akan isi kandungannya. Renung-renungkanlah, alangkah kerdilnya manusia dan betapa singkatnya waktu dunia.

Firman Allah Azzwajall di dalam al-Quran:

"....dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluan masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat pada pandangan mata penduduk bumi dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Mengetahui."
[Fussilat 41:12]

Wallahua'alam.




TUJUH PETALA LANGIT MENURUT PERSPEKTIF ISLAM - Siri 1

Assalamualaikum, post pada kali ini saya ingin berkongsi ilmu pengetahuan tentang rupa sebenar lapisan atau petala langit menurut perspektif atau pandangan Islam. Ketika saya difahamkan tentang gambaran tujuh petala langit oleh ustaz saya, saya berumur 13 tahun dan ketika itu saya berada di madrasah di peringkat 3 [Darjah 3]. 

Masih jelas di dalam pandangan saya lukisan yang dilakar oleh ustaz saya di atas whiteboard rupa dan bentuk tujuh petala langit menurut pandangan ulamak. Saya juga terpegun dengan rupa sebenar tujuh petala langit tersebut kerana selama ini saya mempercayai bahawa bumi mempunyai tujuh lapis langit yang diberikan nama-nama mereka tersendiri oleh ahli-ahli sains ter"evolusi".

Kredit: Ustaz Muhammad Sufian bin Haris [Maaf, saya kurang ingat nama penuh beliau, namun beliau lebih dikenali sebagai Ustaz Sufian. Semoga Allah Azzwajall memberkati beliau. Amin]


TEORI SAINS MODEN JUGA TERPAKAI
Sebagai umat Islam yang berlandaskan aqli dan naqli, saya tidak menolak teori sains moden terhadap gambaran tujuh petala langit yang digambarkan oleh ahli-ahli sains yang ber"evolusi". Dalam erti kata lain, teori mereka bukanlah merujuk kepada gambaran sebenar tujuh petala langit, sebaliknya tahap-tahap ketinggian lapisan yang hanya melindungi sebuah bumi. Namun saya lebih suka jika pandangan ahli-ahli sains ber"evolusi" ini disandarkan pada sebuah dalil dari al-Quran:

".....dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit [dengan bersusah-payah]...."
[al-An'am 6:125]

Saya sandarkan teori ahli-ahli sains yang ber"evolusi" ini adalah berdasarkan keputusan kajian mereka yang mengatakan "Semakin tinggi mendaki, semakin susah bernafas". Lalu mereka mengeluarkan gambaran lapisan-lapisan langit dan pada tahap-tahap tertentu akan berlakunya kehilangan oksigen dan perubahan suhu serta tekanan. Teori mereka ini adalah lebih tepat dengan firman Allah Azzwajall ini pada pandangan saya.


NAMA TUJUH PETALA LANGIT MENURUT SAINS MODEN
Menurut sains moden, langit di bumi dibahagikan kepada 7 lapisan iaitu:



1) Troposfera
2) Stratosfera
3) Ozonsfera
4) Mezosfera
5) Termosfera
6) Lonosfera
7) Egzosfera

Masing-masing mempunyai tahap tekanan, suhu dan kandungan oksigen yang berbeza-beza mengikut lapisan-lapisan yang dinamakan oleh mereka. Lapisan Troposfera merupakan lapisan paling bawah dan dekat dengan bumi manakala lapisan Egzosfera adalah lapisan paling tinggi dan jauh.

Lapisan-lapisan inilah yang disebutkan di dalam al-Quran sekiranya dilalui oleh manusia, maka mereka akan merasakan kesusahan bernafas.

[bersambung....]