PENDETA BAHISHA TENGGELAM DALAM AMALANNYA - Siri 1

Gambar hiasan
Diriwayatkan bahawa ada seorang pendeta dari bani Israel yang taat kepada perintah Allah Azzwajall dan kuat beribadat dan beramal. Amalan yang dilakukannya membuatkan dia diberikan kurnia dari Allah Azzwajall.

Dia boleh pergi dari suatu tempat ke tempat yang lain hanya dengan sekelip mata, ada pula riwayat yang mengatakan dia dapat terbang untuk pergi dari suatu tempat ke tempat yang lain.

BERITA BAHISHA SAMPAI KE PENGETAHUAN IBLIS LAKNATULLAH
Selain  itu dia juga mempunyai pengikut dan anak murid yang turut sepertinya. Namanya juga terkenal di seluruh negeri dan menjadi sebut-sebutan di dalam istana raja. Sebut sahaja Bahishah, mereka pasti akan mengenalinya kerana ketaatan dan kesolehannya. 

Maka berita pendeta Bahisha ini tiba ke pendengaran Iblis. Maka marahlah Iblis sambil di dalam hatinya sangat dengki dan hasad. Dia berhasrat ingin menyesatkan pendeta tersebut sehingga amalan yang dilakukan olehnya menjadi sia-sia dan dijerumuskan ke dalam Jahannam.

IBLIS DAN TIPUDAYANYA 
Maka pergilah Iblis kepada pendeta Bahisha dengan menyerupai seorang lelaki alim. Di dalam perjalanannya, hatinya berbisik “Binasalah Bahisha dan amalannya, akan kusesatkan dirimu!”

Maka tibalah Iblis di rumah Bahisha. Lalu dia meminta izin agar dibenarkan menetap di rumahnya selama beberapa hari. Dengan hati terbuka, Bahisha membenarkan lelaki tersebut menetap di rumahnya untuk beberapa malam.

Selama beberapa hari Bahisha melihat tetamunya itu dengan penuh hairan. Belum pernah dia melihat manusia yang taat beribadat kepada Tuhan tanpa makan dan minum. Maka dia bertanya kepada lelaki tersebut “Wahai hamba Allah, siapakah engkau ini, sehingga engkau tidak makan dan minum selama 3 hari 3 malam kerana taat beribadat kepada Tuhan?”

Maka jawab Iblis “Aku seperti dirimu juga, seorang manusia, namun ‘dosa’ yang telah membuatkan aku menjadi seperti ini. Seandainya tuan ingin menjadi seperti saya, maka lakukanlah dosa, nescaya tuan akan lebih taat kerana dosa-dosa yang tuan lakukan dan tuan akan dapat rasakan betapa manisnya ibadat itu”